Awang Batil adalah seni penceritaan muzikal tradisional yang berasal dari negeri Perlis di Malaysia.
Persembahan ini terdiri daripada seorang penglipur, yang dikenali sebagai awang batil, yang akan bercerita sambil memainkan batil atau periuk belanga gangsa yang biasanya digunakan untuk menyimpan air. Tukang cerita juga akan memainkan alat muzik lain seperti violin, serunai, rebana dan gendang terinai.
Sewaktu bercerita, awang batil menggunakan dua topeng; iaitu Hulubalang dan Wak Nujum apabila watak-watak sesuai muncul di dalam cerita untuk menarik perhatian penonton.
Antara cerita-cerita awang batil termasuk Raja Dewa Lok, Raja Bersiung, Raja Berdarah Putih, Anak Lang Pak Belang, Jabat Jabit, Abu Nawas, Cerita Angan-Angan dan Awang Ada Duit Semua Jadi.
Persembahan awang batil selalunya dipersembahkan di majlis perkahwinan dan majlis malam yang selalunya berlarutan hingga pagi, dengan beberapa persembahan berterusan sehingga dua atau lima hari. Cerita-cerita lebih panjang sebegini selalunya dipersembahkan apabila awang batil diundang khas ke rumah, misalnya selepas musim tuai padi.