Noryn Sazali, seorang siswazah Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) di bawah bimbingan Matthias Oestringer, kini menjadi ‘Concert Master’ bagi Orkestra Sri Temasek (OrST). Beliau telah menghadiri kursus dari Yuri Zhislin serta Lucy Russell, fakulti dari Royal College of Music London, dan juga Pisoot Saay Op Oua, ‘Concert Master’ Orkestra Simfoni Bangkok. Noryn telah membuat banyak persembahan bagi konsert NAFA seperti Viva Verismo, Festival Seni Ulang Tahun NAFA yang ke-80, NAFA Project Strings The Last Serenade, dan The Complete Sibelius Symphony Cycle. Noryn turut terlibat dengan banyak orkestra tempatan seperti The Philharmonic Orchestra, Orkestra Melayu Singapura, yIN Harmony, ADDO Arts Company, dan Singapore Pocket Opera Theatre.
Bakat dan kecemerlangan Noryn diiktiraf melalui Anugerah Belia Cemerlang yang dianugerahkannya pada tahun 2018. Sejak itu, beliau menjadi wajah yang tidak asing lagi di pentas besar, penggiat aktif dalam arena muzik tempatan dan antarabangsa. Noryn dipilih untuk membuat persembahan bagi Kedutaan Singapura di Vietnam pada tahun 2019, mewakili Singapura dalam Festival Folklore Antarabangsa ke-60 di Lefkada, Greece, pada tahun 2022, dan di Namur, Belgium (Festival de Folklore de Jambes) dan Haguenau, Perancis (Festival du Houblon - Rythmes et couleurs du monde) pada tahun 2023. Setelah mempersembahkan muzik Melayu tradisional di pentas antarabangsa, Noryn sangat berbangga dapat berkongsi budaya dan tradisinya dengan penonton antarabangsa. Beliau juga telah berkongsi pentas dengan beberapa artis terkenal seperti Hady Mirza, Sufie Rashid, dan Jatt Ali bagi konsert Fenomena pada Mei 2022.
Pada November 2019, Noryn membuat persembahan di Anugerah MENDAKI 2019 untuk tetamu kehormat, Dr Maliki Osman, serta Menteri Singapura, Encik Masagos Zulkifli. Noryn bersama-sama pemenang anugerah alumni MENDAKI yang terdahulu, turut terlibat bagi Majlis Ulang Tahun MENDAKI yang ke-40 pada tahun 2022, dengan tetamu kehormat, Tuan Lee Hsien Loong. Beliau juga diberi peluang membuat persembahan untuk Presiden Halimah Yacob, bagi perasmian Bulan Bahasa pada tahun 2019. Pada Julai 2023, beliau mengiringi penembangan syair sebagai tanda penghormatan kepada Puan Presiden, di Konferens Masyarakat Gemilang MENDAKI.