Literary Arts

Suara Rakyat: Mohamed Latiff Mohamed

Ulasan Nazry Bahrawi tentang pemberontak dalam kesusasteraan Melayu Singapura.

Calendar

Tarikh Terbit: 24 Dec 2020


Jangka Masa Membaca: >15mins

Asal esei ini ditulis dalam Bahasa Inggeris. Terjemahan Bahasa Melayu oleh Anwar Hadi Ramli.

Jebat telah kembali.

Kekata yang sangat bermakna ini, dapat dijumpai dalam sajak pilihan kami yang berjudul Tekad yang telah diterjemah kepada Bahasa Inggeris. Sajak tersebut adalah karya penulis pilihan kami, yakni Mohamed Latiff Mohamed.

Bagi yang tidak mengetahui, Hang Jebat adalah seorang watak lagenda dari hikayat Melayu Klasik, Hikayat Hang Tuah, yang telah melakukan pemberontakan terhadap Sultan Melaka kerana menjatuhkan titah, membunuh sahabat baiknya, Hang Tuah, atas tuduhan palsu dari para musuhnya yang menyatakan bahawa beliau telah bermukah. Namun begitu, Tuah tidak dibunuh dan sebenarnya telah disembunyikan oleh Datuk Bendahara di suatu tempat yang selamat.

Setelah mendapat tahu bahawa laksamana dan pendekarnya masih hidup, Sultan kemudiannya memberikan keampunan dan menitahkan Tuah untuk menentang Jebat. Tuah menurut dan akhirnya dapat membunuh Jebat dalam pergaduhan yang memakan masa selama tujuh hari. Walaupun dari beberapa pandangan, Tuah dilihat sebagai seorang wira yang patuh dengan nilai adab dan budaya Melayu, seorang cendekiawan Melayu, Allahyarham Kassim Ahmad1 menyatakan bahawa Jebat juga dapat dilihat sebagai seorang tokoh, kerana berani berdepan dengan seorang raja yang tidak adil, dek kerana kesetiaan terhadap sahabatnya.

Jebat mungkin telah dipaparkan sebagai satu lambang keberanian dalam Tekad tetapi tidak dapat dinafikan bahawa ada persamaan antara isi penulisan dan si penulis. Jika kita gugurkan perbezaan antara pengusul dan yang diusul, kita boleh menyatakan bahawa Jebat tidak pulang kerana sejak mulanya lagi, beliau tidak pergi kemana-mana pun. Bagi Latiff, penanya adalah kerisnya. Seperti Jebat, beliau mengacukan senjata pilihannya untuk menentang ketidak-adilan sosial. Seperti Jebat, tugas berani yang beliau pilih ini juga telah menimbulkan kesusahan kepada dirinya. Dalam satu wawancara, beliau berkata: 

Kadangkala saya merenung sendiri dan bertanya, mengapa saya masih mahu terus menulis tentang orang Melayu, berjuang untuk yang benar walaupun ia selalu tidak dihargai. Ia amat menyakitkan. Saya telah cuba berhenti tetapi tidak boleh juga. Saya masih percaya bahawa ia adalah penting untuk terus menulis dan merakam perihal-perihal ketidak-adilan dan peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam negara dan masyarakat. Saya berpegang kepada sebaris ayat dari puisi Taha Jamil yang mengalir deras di dalam benak naluri saya - “Yang Berhak Akan Kembali Pada Yang Hak”2

Mohamed Latiff Mohamed

Dari sudut pandangan ini, Latiff berada dalam kedudukan yang tersendiri di antara gugusan kesusasteraan dunia Melayu yang merangkumi Malaysia, Indonesia dan Brunei. Ini kerana beliau meluahkan pengalaman-pengalaman yang dilalui bangsa Melayu Singapura yang merupakan bangsa minoriti. Perkara ini tidak dapat diluahkan oleh sasterawan Melayu dari negara-negara Melayu yang lain kerana mereka bukan dari bangsa yang dipinggir.

Penghijrahan beliau untuk bersama anak lelaki sulungnya di Australia, adalah kerana kepercayaannya sendiri, bahawa beliau mempunyai pertalian dengan mereka yang dibelenggu dengan keadaan hidup kaum minoriti. Bercakap tentang penghijrahannya, Latiff menyuarakan tentang kemungkinan-kemungkinan beliau mengkaji dan menulis tentang kaum asli aborigines di sana. Katanya, “Sejarah mereka banyak persamaan dengan orang Melayu, dijajah, dipergunakan dan menjadi mangsa pelbagai helah.”3 Kecekalan inilah yang telah meletakkan beliau sebagai penulis sastera dunia, dimana perkataan dunia di sini bermaksud, luahan keadaan di tempat sendiri yang menyuarakan pengalaman penduduk dunia yang berbeza budaya dan tempat tinggal jika dibandingkan dengan si penulis. Sebagai contoh, seseorang itu boleh menyatakan bahawa Latiff boleh dibandingkan dengan Lu Xun, seorang tabib dan penulis abad ke dua puluh dari Cina, yang mana kerja-kerja penulisannya bertujuan untuk menyembuhkan kaumnya dan rakyat negara Cina dari penderitaan pemikiran mereka.

Puisi Tekad menyerlahkan kemahiran kerja penulisan Latiff walaupun dengan penggunaan kata-kata yang padat. Walaupun versi bahasa Inggeris dari Zakaria Ali amat jelas penterjemahannya, namun seri dari bahasa Melayu asalnya tidak dapat dicapai sepenuhnya. Dalam puisi yang asal, ia ditulis dengan menggunakan dua rangkap pantun, yang mana akhiran perkataan-perkataan di hujung mempunyai sebutan yang sama. Sebagai contoh, juga, bangsa, jingga, bermula, adalah perkataan-perkataan di hujung pantun yang pertama. Walaupun jika seseorang itu tidak memahami bahasa Melayu tetapi boleh membaca huruf-huruf tulisan Rumi, beliau tetap akan dapat membaca puisi itu dan dapat menghargai keindahan sebutannya. Sayangnya, mutu seni tulisan dalam puisi ini, hilang apabila diterjemah kepada versi Inggeris, menunjukkan kepayahan dan cabaran dalam menterjemah puisi-puisi Melayu. Sebagai seorang penterjemah untuk kerja-kerja Latiff sendiri, saya mengakui kepayahan untuk mengekalkan madah puitisnya. Ada masanya, kita tidak ada pilihan tetapi memilih untuk mementingkan pemahaman pembaca dari mengekalkan keseniannya.

Versi Inggeris juga tidak dapat mencakup nuansa-nuansa kebudayaan dalam puisi Melayu jika tidak menyelitkan nota-nota kefahaman, di mana nota-nota ini akan mengganggu kelancaran pembacaan. Puisi ini menyelitkan beberapa perkara tentang budaya pernikahan Melayu seperti inai yang dilukis di tangan pengantin perempuan dan nasi pengantin, sejenis makanan yang dihadiahkan kepada pihak pengantin lelaki dalam upacara penukaran hadiah. Apakah ini semua menunjukkan kemahiran bermain kata agar pembaca dapat mentafsirkan kata-kata Latiff di mana beliau mahu menunjukkan bahawa; satu upacara dan pengalaman yang lazim dalam kehidupan seorang Melayu dan mungkin juga satu saat yang paling membahagiakan, dapat menjadi satu seruan untuk bertindak. Tidak ada masa rehat untuk seseorang yang membendung ketidak-senangan, walaupun pada hari pernikahannya.

Dalam puisi ini, kita dapat melihat seorang seniman yang rumit. Latiff adalah naib presiden Angkatan Sasterawan '50 atau ASAS '50, sebuah kumpulan penulis-penulis Melayu. Ditubuhkan selepas perang dunia kedua pada bulan Ogos 1950, kumpulan itu berlandaskan kepada kepercayaan “seni untuk masyarakat”. Di dalam dunia Melayu, persaingan antara kepercayaan ini dengan kumpulan lain yang berlandaskan “seni demi seni”, sangat sengit. Lebih-lebih lagi di Indonesia pada awal 1960an di mana kumpulan sastera kemasyarakatan, Lekra, mencebur dalam  ketidaksetujuan dan penyanggahan kepada para seniman yang melancarkan Manifesto Kebudayaan, menyeru agar seni itu harus lebih terbuka dan tidak  perlu sentiasa terlalu realis ataupun berbaur politik. 

Dalam keadaan yang perbezaan pendapat ini, Latiff, penulis yang berwatak Jebat, tidak berpihak kepada siapa-siapa.  Walaupun beliau memburu keadilan masyarakat, namun beliau tidak meminggirkan keindahan dalam penulisan. Dalam satu wawancara pada tahun 1989, wartawan Mardiana Abu Bakar menulis:

Beliau berkata bahawa beliau tidak sekadar berpuas hati dengan kebenaran estetik dalam tugasan walaupun beliau bersetuju bahawa keindahan itu penting dalam kerja-kerja penulisan4.

Banyak yang boleh kita kagumi tentang beliau, tetapi seperti ramai penulis yang lain, penulisan Latiff ada batasnya. Terutama sekali tentang perihal penterjemahan, juga tentang penerimaan kerja penulisannya di Singapura masakini. Latiff adalah seorang tokoh pada masanya tetapi perubahan masa juga membawa perubahan kelaziman masyarakat dan apa ertinya untuk terus kekal di hadapan dalam kerja-kerja seni. Ketika beliau mula menulis pada tahun-tahun 60an hingga ke awal tahun 2000, memang tidak boleh disangkal lagi bahawa Latiff lebih maju dari masanya. Hari ini, radikalisme budaya yang beliau perjuangkan mungkin tidak lagi diambil kira. Sebagai contoh, saya sendiri mengalami kerumitan dengan beberapa pandangan ketika menterjemahkan salah satu cerita pendek beliau yang berjudul Cinta Gadis di Korea, kisah cinta tentang seorang pemuisi Melayu dan seorang pemandu dari Korea ketika menghadiri Kongres Pemuisi Sedunia di Seoul. Walaupun watak wanita ditulis sebagai seorang wanita yang mempunyai sebab, cerita itu mempunyai beberapa hal tentang peranan wanita dan pandangan seorang lelaki.

Dari situ, saya juga cuba untuk memahami tentang perkara itu bersama penulis naskhah pentas Nabilah Said dan Adib Kosnan dalam satu persembahan / syarahan yang bertajuk Rasa Sarang yang dipersembahkan untuk Textures 2020 di Arts House.5 Dari proses ini, saya menjumpai rumusan yang bermakna untuk karya ini. Bagi saya, Latiff adalah seorang penulis yang berhak menerima penghargaan yang lebih. Ini nyata sekali walaupun beliau menimbulkan ketidak-selesaan tatkala beliau menulis dengan jelas tentang penyiksaan dan kesakitan, ataupun ketidak-sempurnaan pendapatnya yang tidak sengaja terpendam dalam sudut pandangan masa dahulu, tentang perhubungan lelaki dan wanita. Bagi saya, sumbangan ulungnya ialah kepercayaannya dalam tidak menyetujui bahawa seni adalah sesuatu yang susah dicapai. Sastera Melayu di Singapura adalah satu perkara yang penting dan Latiff adalah pengusul terkuatnya.


1 Kassim Ahmad. Characterisation in Hikayat Hang Tuah: a general survey of methods of character-portrayal and analysis and interpretation of the characters of Hang Tuah and Hang Jebat. Jilid 8. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, 1966.

Handal, Nathalie. The City and the Writer: A Conversation with Mohamed Latiff Mohamed. Diterjemahkan oleh Annaliza Bakri. Words Without Borders, 28 Julai 2015, https://www.wordswithoutborders.org/dispatches/article/the-city-and-the-writer-in-singapore-with-mohamed-latiff-mohamed. Dirujuk pada tanggal 15 Disember 2020.

Nanda, Akshita. Singapore is still my home. The Straits Times, 23 Mac. 2015, https://www.asiaone.com/singapore/singapore-still-my-home. Dirujuk pada tanggal 15 Disember 2020.

Mardiana Abu Bakar. Giving vent to rage in verse. The Straits Times, 7 Jun. 1989, https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitstimes19890607-1.2.63.9.1. Dirujuk pada tanggal 15 Disember 2020.

Rasa Sarang: The Translator’s Dilemma, The Arts House, 13-14 Mac 2020, https://www.theartshouse.sg/whats-on-details/literary-arts/rasa-sarang-the-translator-s-dilemma. Dirujuk pada tanggal 15 Disember 2020.

Ditulis Oleh:

Nazry Bahrawi

Nazry Bahrawi adalah seorang penterjemah, kritik dan pensyarah di Universiti Teknologi dan Rekabentuk Singapura. Beliau telah menterjemahkan dua karya persuratan dari Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris termasuk kumpulan cerita-cerita pendek Mohamed Latiff Mohamed yang berjudul Lost Nostalgia (Ethos Books:2017).


KOMA MERAH KECIL

Sastera Singapura, disusun kembali. Koma Merah Kecil (Little Red Comma) mengumpulkan adaptasi enam kerja sastera pelbagai jenis, dalam bentuk digital, merangkumi karya dari Arthur Yap, Latha, Melissa De Silva, Mohamed Latiff Mohamed, Samuel Lee dan Yeng Pway Ngon, dan diterbitkan dari Ogos hingga November 2020. Termasuk juga cerita, esei dan podcast yang diilhamkan dari kerja-kerja penulisan tersebut.

LIHAT SEMUA
Anda masih ada 3 daripada 3 rencana percuma yang boleh dibaca pada bulan ini. Buat akaun Esplanade&Me dengan percuma atau daftar masuk untuk teruskan. DAFTAR / LOG MASUK